KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu laporan berunsur fitnah menerusi kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terhadap beberapa pegawai tertinggi agensi tersebut.
Kenyataan yang disiarkan sebuah portal berita itu ditularkan dengan cara menokok tambah dan memanipulasi penerangan yang disampaikan Abdul Hamid.
Abdul Hamid berkata, kenyataan yang ditularkan pada pautan berita berkenaan adalah tidak bertanggungjawab malah memberi tanggapan buruk terhadap portal yang menyiarkan laporan yang sahih dan tepat.
“Kenyataan berkenaan jelas sekali berniat jahat terhadap pegawai PDRM yang ditohmahkan melalui berita palsu berkenaan malah turut memberi gambaran negatif terhadap portal tersebut.
“Ini berikutan kenyataan saya berhubung rombakan dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) setelah beberapa pegawai disyaki bersekongkol dengan sindiket,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tular hari ini pautan berita dengan kenyataan mendakwa kononnya Ketua Polis Negara kecewa dan dukacita terhadap pegawainya termasuk Pengarah JSJ dan JSJN yang menerima bayaran tertentu dari sindiket dan tauke judi.
Malah, berita itu turut mendakwa Abdul Hamid berasa amat malu dan kecewa serta pembongkaran oleh SPRM dan Cawangan Khas sedikit sebanyak telah membuka minda masyarakat tentang aktiviti pengarah-pengarah PDRM. – UTUSAN ONLINE