PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka semula semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendaliannya.
Ini termasuk di Negeri Sembilan selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan dan negeri di mana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Oleh itu, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan keselamatan semua pihak.
PLUS dalam satu kenyataan turut mengingatkan agar pelanggan yang menggunakan surau di lebuh raya supaya mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual bagi memudahkan urusan pengesanan kontak sekiranya diperlukan.
Selain itu, pelanggan juga dinasihatkan supaya membawa kelengkapan untuk bersolat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga ketika solat kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan buat waktu ini.
Penanda penjarakan fizikal turut disediakan di setiap ruangan solat di surau serta di kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal 1 meter.
PLUS juga memastikan semua surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual. – UTUSAN ONLINE