Kembara Al-Amin wadah baharu Jakim dekati netizen

Kembara Al-Amin wadah baharu Jakim dekati netizen

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia memanfaatkan media sosial sebagai platform yang boleh memberikan kebaikan kepada pengguna internet di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, media itu juga begitu dekat dengan netizen tanpa mengira latar belakang mereka.

“Jakim turut memanfaatkan media ini dalam menyampaikan maklumat dan dakwah dengan menyasarkan segenap lapisan masyarakat tidak kira usia, bangsa dan agama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Kembara Al-Amin melalui media sosial Jakim secara maya di sini yang bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

Pelaksanaan program itu ujar Zulkifli, merupakan inisiatif terbaharu Jakim untuk menyebarkan dakwah dan mendidik seluruh masyarakat menghayati keindahan akhlak Rasulullah SAW.

Malah tambahnya, ia wajar disampaikan kepada bukan Muslim supaya dapat menemukan titik persamaan dan keharmonian masyarakat majmuk berbilang agama dan kaum di Malaysia.

“Kembara Al-Amin ialah jenama utama program mengandungi 10 segmen menarik disiarkan dalam bentuk poster, infografik dan video secara berkala di laman sosial Jakim,” katanya.

Segmen itu ialah Oh! Baru Tahu, Tanya JAKIM, Heart Talk, Ajaibnya Doa, Refleksi Al-Amin, 1 Hari 1 Ayat Challenge, Vokal Orang Muda, #togethertilljannah, Menu Al-Amin dan Teka Jawi.

Ia mengambil inspirasi daripada gelaran Rasulullah SAW iaitu ‘al-Amin’ (orang dipercayai) dan menggambarkan perjalanan seseorang untuk menjadi insan yang lebih baik dalam kehidupan.

Zulkifli turut mengajak netizen agar dapat berkongsi setiap hantaran yang disiarkan itu kepada kenalan media sosial semoga maklumat program tersebut memberi manfaat kepada mereka.

“Saya mengharapkanKembara Al-Amin menjadi wadah mendidik diri kita lebih baik selaras tujuan Rasulullah SAW diutus bagi menyempurnakan keindahan akhlak manusia,” tegasnya.

Apatah lagi ujarnya, masyarakat boleh mengambil banyak manfaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bersama ahli keluarga menghayati setiap segmen program disiarkan.

Beliau juga berterima kasih kepada pelajar tahun akhir di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara dalam bantu Jakim mereka bentuk bahan dalam program ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya