KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Kelantan meramalkan kejadian banjir di kawasan Pantai Timur bermula 14 hingga 16 November ini sekiranya hujan lebat monsun berlaku serentak dengan air pasang.
Pengarah Meteorologi Kelantan, Rabiah Al Adawiah Zakaria berkata, keadaan itu disebabkan oleh fenomena Perigee dan bulan baharu yang boleh menyebabkan air pasang menjadi tinggi daripada biasa sekiranya berlaku serentak.
Katanya, selain bulan ini, keadaan sama juga dijangka berlaku pada 12 hingga 14 Disember depan.
“Keadaan ini menyebabkan berlaku angin kencang dan laut bergelora.
“Kita menasihatkan orang ramai yang tinggal di pesisir pantai supaya berwaspada dan nelayan juga diharap keluar untuk menangkap ikan,” katanya selepas menyampaikan taklimat di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah APM Kelantan, Zaimuddin Hussin.
Mengulas lanjut, menurut Rabiah, kebiasaan nelayan tidak akan turun ke laut apabila mereka mengetahui amaran telah dikeluarkan kerana mereka bimbang keselamatan masing-masing.
Katanya, maklumat yang lebih lanjut akan diterima berhubung keadaan cuaca dari masa ke semasa.
“Kita juga meramalkan banjir di Kelantan terjadi seperti tahun lalu dan kejadian pada kali ini tidak seteruk sama seperti 2014.
“Ramalan hujan berlaku pada paras purata bagi November 2020 sehingga Mac 2021 dan dijangka lebat pada bulan Disember,” ujarnya.
Menurut Rabiah, selain itu, kejadian banjir pada tahun ini ditambah dengan fenomena La Nina yang menyebabkan cuaca lembap sekali gus menjadikan hujan lebat berpanjangan.
Katanya, jumlah hujan bulanan bagi November diramalkan berlaku sebanyak 530 sehingga 760 milimeter (mm). – UTUSAN