KUALA LUMPUR: Seramai 116,434 kelahiran direkodkan pada suku tahun ketiga tahun ini, menurun sebanyak 5.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas yang dengan catatan 123,751 kelahiran.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tahun ketiga tahun ini, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 60,090 berbanding perempuan (56,344 kelahiran).
“Dalam catatan ini, Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,185 kelahiran (19.1 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 418 kelahiran atau 0. peratus , “ katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu beliau memberitahu, penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga tahun ini meningkat 0.4 peratus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 32.69 juta orang berbanding suku tahun ketiga tahun sebelumnya atau 32.56 juta orang.
Uzir berkata, jumlah tersebut merangkumi 29.78 juta orang atau 91.1 peratus adalah warganegara manakala 2.92 juta orang lagi (8.9 peratus) bukan warganegara
Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 peratus.
“Pada suku tahun ketiga tahun ini, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.82 juta dan 15.88 juta. Nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya..
Mengenai kategori umur pula, Mohd Uzir dalam masa yang sama turut menjelaskan penduduk berumur 0 sehingga 14 tahun pada suku tahun ketiga tahun ini, menurun daripada 7.64 juta pada suku tahun ketiga tahun lalu kepada 7.59 juta.
Penduduk berumur antara 15 hingga 64 tahun pula meningkat daripada 22.70 juta (suku tahun ketiga 2019) kepada 22.79 juta pada suku tahun ketiga tahun ini.
Penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat daripada 2.22 juta kepada 2.32 juta bagi tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keadaan ini selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 43,178 kematian telah direkodkan bagi suku tahun ketiga 2020, meningkat satu peratus berbanding suku tahun ketiga 2019 (42,757 kematian).
“Sejumlah 24,909 kematian adalah lelaki sementara 18,269 kematian adalah perempuan. Bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,816 kematian (15.8 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 57 kematian sahaja atau 0.1 peratus,” jelasnya.
Mohd. Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 turut menyatakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama bermula 7 Julai hingga 21 Disember ini menerusi kaedah banci dalam talian (e-Census).
Fasa kedua pula bermula daripada 20 Januari hingga 6 Februari tahun depan dengan menggunakan kaedah temu ramah bersemuka.
“Dianggarkan sebanyak sembilan juta tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 dengan melibatkan 32.7 juta penduduk.
“Sehingga 11 November lalu, sebanyak 16.6 peratus isi rumah telah selesai mengisi e-Census dengan melibatkan 15.6 peratus penduduk,” ujarnya.
Dalam masa yang sama beliau menyarankan orang ramai untuk melengkapkan e-Census sebelum tarikh tutup atau pembanci akan datang ke rumah bermula 20 Januari hingga 6 Februari tahun depan.
“Data yang dikumpulkan melalui Banci 2020 sangat berguna untuk kajian sosio demografi dan aspek-aspek lain seperti penggubalan dasar dan perancangan untuk memantau aliran semasa demografi dan program pelaksanaan, begitu juga untuk penyelidikan dan kajian ilmiah mengenai hubungan antara trend kesuburan kesuburan kematian dan pembangunan sosio ekonomi.
“Komitmen dan sokongan semua pihak sangat diperlukan agar Banci 2020 dapat dilaksanakan dengan jayanya. maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci di pautan mycensus.gov.my. ” katanya.- UTUSAN ONLINE