Kedah gagal capai sasaran kutip hasil   - Utusan Malaysia

Kedah gagal capai sasaran kutip hasil  

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah gagal mencapai sasaran awal kutipan hasil apabila sekadar mencatatkan penerimaan hasil sebanyak RM504 juta sehingga 13 November lepas.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sasaran awal kutipan hasil pada tahun ini adalah berjumlah RM701.94 juta.

Menurutnya, kekurangan hasil itu adalah susulan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang dibuat bagi meringankan beban rakyat akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara tahun ini.

Beliau berkata, antaranya ialah pelanjutan bayaran cukai tanah semasa dengan mengecualikan denda lewat berkuat kuasa 1 Jun sehingga 30 September lepas dan bayaran ansuran dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

“Selain itu penangguhan bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September lepas diberikan kepada penghuni skim sewa beli Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Pengecualian bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September lepas turut diberikan bagi sewaan kedai di bawah seliaan Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Tema Belanjawan Kedah 2021 adalah ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’. 

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil pada 2021 adalah sebanyak RM720 juta iaitu peningkatan sebanyak RM18 juta berbanding anggaran bagi 2020.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM314 juta adalah hasil cukai, RM246 juta hasil bukan cukai dan RM160 juta terimaan bukan hasil,” katanya. 

Muhammad Sanusi memberitahu, Belanjawan Kedah 2021 pula melibatkan peruntukan kira-kira RM1 bilion iaitu peruntukan pembangunan berjumlah RM200.99 juta manakala pembelanjaan mengurus pula sebanyak RM798.9 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN