Kecewa PN sampai sekarang tidak tubuh RCI siasat salah laku Tabung Haji - Utusan Malaysia

Kecewa PN sampai sekarang tidak tubuh RCI siasat salah laku Tabung Haji

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat ‘kecacatan’ dalam Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) selain menghentikan semua transaksi penjualan aset-asetnya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini berikutan ketidakmampuan syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk memulihkan Tabung Haji menerusi anak syarikatnya, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang ditubuhkan Pakatan Harapan (PH), namun, gagal apabila kerugian bersih berjumlah RM9.95 bilion ditanggung syarikat berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu jelas menunjukkan Pelan Pemulihan Tabung Haji yang dilaksanakan PH hanya pura-pura bagi menutup kelemahan dasar ekonominya semasa mentadbir yang menyebabkan aset-aset Tabung Haji bernilai RM9.63 bilion terjejas teruk sekaligus dijual kepada UJSB dengan penerbitan sukuk berjumlah RM19.9 bilion pada April tahun lalu.

“Menurut Pelan Pemulihan TH, UJSB akan menebus kembali sukuk-sukuk tersebut berserta keuntungan berjumlah RM27.56 bilion pada hujung tahun kesembilan.

“Persoalannya, apakah UJSB yang hanya berpendapatan sebanyak RM234 juta sahaja ini berkemampuan untuk membina dana sebesar RM27.56 bilion bagi menebus sukuk-sukuk tersebut?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah mendedahkan UJSB mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM9.95 bilion.

Syarikat itu hanya mencatatkan pendapatan RM234 juta bagi tempoh kewangan dari 14 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019 yang diperoleh daripada dividen dan sewaan aset milik syarikat terbabit.

Lebih membimbangkan, Asyraf Wajdi berkata, apabila ‘jaminan berbentuk komitmen’ yang sering diuar-uarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof sebenarnya bukanlah jaminan kerajaan selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

Malah, Ketua Audit Negara turut meragui keupayaan UJSB untuk mencapai sasaran tanpa bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

“Atas dasar inilah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sejak dari awal tidak yakin dan sinis dengan pelan pemulihan ini kerana menganggap hanya satu konspirasi penjualan lambak aset-aset Tabung Haji dengan mengaburi persepsi rakyat khususnya pendeposit.

“Saya bersama seluruh Pemuda UMNO kecewa kerana tiada tindakan segera daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat sebarang salah laku walaupun telah berkali-kali dibangkitkan termasuk penyerahan memorandum mendesak penubuhan RCI kepada Menteri Agama di JPM,” katanya yang merujuk kepada Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN