KBS tidak salur bantuan terus untuk individu - Utusan Malaysia

KBS tidak salur bantuan terus untuk individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara prinsip tidak pernah menyalurkan bentuk bantuan kewangan secara terus kepada mana-mana individu atau pun syarikat.

Sebaliknya menurut kenyataan KBS, sesuatu permohonan diterimanya akan dipertimbangkan Jawatankuasa Bantuan dan setelah dilulus, ia disalurkan melalui persatuan sukan berkaitan.

“Pihak jawatankuasa itu juga terikat dengan garis panduan dan tatacara kewangan sedia ada bagi pembangunan sukan serta boleh diaudit pada bila-bila masa,” jelas KBS di sini hari ini.

Kenyataan tersebut merujuk isu tular menerusi platform media sosial berhubung penyaluran sumbangan kepada atlet sukan pemotoran negara, Kasma Daniel Kasmayudin baru-baru ini.

KBS ujarnya, menerima permohonan daripada Motorsports Association of Malaysia (MAM) bagi pihak pelumba itu sebelum dinilai oleh Jawatankuasa Bantuan untuk proses penilaian.

“Sejumlah peruntukan kemudian diluluskan pihak KBS kepada MAM melalui surat bertarikh 3 September lalu dan bantuan itu juga sebagai tanda sokongan untuk atlet tersebut,” katanya.

KBS tegas kenyataan itu, melihat Kasma Daniel, 20, seorang belia negara yang berpotensi besar dapat mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan disertainya di luar negara.

Pada masa ini, pelumba berasal dari Johor Bahru, Johor itu merupakan atlet di bawah tajaan syarikat ONEXOX TKKR SAG Team dan pernah menyertai Grand Prix Moto2 di Sepanyol.

“Phak KBS tidak terikat untuk memaklumkan sebarang keputusan Jawatankuasa Bantuan kepada pihak lain selain persatuan yang buat permohonan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Kementerian tersebut namun tidak menghalang persatuan, atlet atau pasukan untuk membuat kenyataan berhubung kelulusan dan penyaluran bantuan mengikut peraturan kewangan.

Malahan KBS sendiri sememangnya komited untuk bantu seluruh ekosistem sukan negara yang kini terkesan teruk akibat penularan Covid-19 termasuklah atlet pemotoran tempatan.

KBS juga berharap tumpuan dan fokus dapat diberikan kepada usaha pembangunan atlet ke peringkat lebih tinggi dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak badan sukan.

“Ini terrmasuk pihak pengurusan dan syarikat penaja yang sentiasa letak kepercayaan kepada atlet negara untuk mengharumkan nama Malaysia dalam pelbagai kejohanan,” katanya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya