PERMATANG PAUH: Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) mengambil inisiatif membuka kaunter pandu lalu bagi membolehkan penduduk negeri ini meminjam atau menghantar buku.
Pengarahnya, Sharimah Salleh berkata, inisiatif yang julung-julung kali diperkenalkan itu berikutan pihaknya terpaksa menutup 104 pusat perkhidmatan dan perpustakaan di bawah kendalian PPAPP ekoran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Katanya, kaunter Kaunter Pandu Lalu itu beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.
“Setiap buku yang dipulangkan setelah dipinjam dikuarantin selama 72 jam dan disanitasi terlebih dahulu sebelum diletakkan di rak kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Sharimah, orang ramai boleh mengakses laman sesawang PPAPP di www.penanglib.gov.my dan menggunakan aplikasi WebOpac untuk membuat tempahan buku.
Katanya, pengguna telefon pintar dengan sistem operasi android pula boleh memuat turun aplikasi myLibrary untuk memudahkan urusan peminjaman dan pemulangan.
Pada masa sama, ujarnya, pengguna boleh mengakses pelbagai bahan bacaan digital yang ditawarkan melalui pangkalan data seperti e-Lib, OverDrive, ebrary, U-Pustaka dan blis ketika melayari laman web rasmi PPAPP itu.
“Bermula 15 November ini juga, pengguna boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti anjuran PPAPP secara dalam talian seperti Hikayat PPAPP: Menemanimu di Malam Hari pada pukul 9 malam setiap hari, Cabaran Minda Kreatif, Ulasan Buku, Kelas Masakan, teka silang kata dan kuiz,” katanya.
Tambahnya, seramai 145,650 pengguna mengunjungi perpustakaan itu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sebelum ini iaitu dari Jun hingga Oktober lalu.
Ujar beliau, penggunaan perkhidmatan secara dalam talian di Hub Digital@PPAPP untuk tempoh yang sama juga menunjukkan peningkatan mendadak iaitu sehingga 60 peratus. -UTUSAN ONLINE