Kastam patahkan cubaan seludup kereta terpakai - Utusan Malaysia

Kastam patahkan cubaan seludup kereta terpakai

Sazali Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup masuk lima buah kenderaan terpakai di Pelabuhan Pasir Gudang, pada 21 Oktober lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, serbuan pada pukul 6.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kastam Johor Bahru dan mendapati semua kenderaan itu disembunyikan dalam sebuah kontena yang diisytihar sebagai kosong dan dibawa masuk dari Singapura.

“Hasil siasatan dibuat terhadap sebuah kontena berukuran 40 kaki di depoh kontena pelabuhan itu menemui dua kereta jenama Nissan dan tiga kereta jenama Toyota disembunyikan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kereta berkenaan belum lulus kastam dan dianggarkan bernilai RM79,500 dan cukai bernilai RM112,890. Selain itu, turut ditahan dalam serbuan itu seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pekerja syarikat pengimport kontena berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat JKDM negeri di sini hari ini.

Tambah Sazali, suspek tersebut kemudian dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum RM100,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara selama enam bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Sazali turut memaklumkan kejayaan pihaknya mematahkan cubaan penyeludupan dadah seberat 3.36 kilogram (KG) bernilai RM217,860 di perairan Pontian, pada 24 Oktober lalu.

Katanya, ketika anggotanya menjalankan Ops Benteng 2020 pada pukul 10 pagi, anggota telah mengejar sebuah bot fiber menghala ke Sungai Benut, Pontian.

“Setibanya di kawasan hutan bakau, dua suspek yang menaiki bot berkenaan bertindak terjun dan melarikan diri. Pemeriksaan dibuat ke atas bot mendapati empat bungkusan plastik di dalam beg dan tong cat yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 3.36KG dengan nilai RM217,860,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN