Kastam anggar dapat rampas 1 bilion rokok seludup tahun ini

Kastam anggar dapat rampas 1 bilion rokok seludup tahun ini

ABDUL Latif Abdul Kadir (dua dari kiri) bercakap dalam sidang akhbar mengenai kejayaan Kastam menumpaskan sindiket terbaharu penyeludupan rokok di sekitar Lembah Klang di pejabat kastam, Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia menganggarkan mungkin mampu merampas satu bilion batang rokok seludup sehingga akhir tahun ini hasil beberapa operasi dilakukan.

Malah, sebanyak 785 juta batang rokok seludup pelbagai jenama sudah pun berjaya dirampas pihak Kastam dalam pelbagai operasi seluruh negara sejak awal tahun hingga 1 November.

“Ini bermakna keseluruhan rokok diseludup itu dianggarkan bernilai RM60 juta dengan jumlah cukai sekitar RM539 juta,” kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dalam sidang akhbar bagi mengumumkan kejayaan Kastam menumpaskan sindiket terbaharu penyeludupan rokok di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Beliau berkata, permintaan produk itu tetap ada bahkan ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari Mac hingga Julai lalu, sejumlah 16,000 batang rokok seludup disita.

Namun, tambahnya, dalang di sebalik sindiket sedang dikesan kerana mereka licik dengan mengisytiharkan kontena kosong dan beliau berharap mesin pengimbas dapat ditambah pada tahun depan.

“Taktik penyeludup ini dikesan dengan memindahkan rokok daripada kontena kepada lori yang disorok di kawasan tertentu tumpas apabila berjaya dicekup pihak Kastam Diraja Malaysia.

“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan lori yang diletakkan di kawasan tersembunyi sebelum memindahkan rokok seludup untuk diedarkan ke tempat lain melalui jalan darat.” ujarnya.

Abdul Latif berkata, empat buah lori ditahan di tiga lokasi berbeza hasil pemantauan serta penjejakan selama dua hari dan hasil pemeriksaan menjumpai rokok pelbagai jenama berjumlah 11.3 juta batang.

Ia ujarnya, disyaki barang larangan import atau belum diluluskan kastam yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta dengan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM7.7 juta.

Penyeludup itu tambahnya, ditumpaskan pada 18 November lalu hasil usaha Unit Siasatan Dalaman dan Unit Siasatan Fraud Perdagangan serta Cawangan Integriti Ibu Pejabat Kastam.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu dengan melakukan pemunggahan daripada kontena terus ke lori di kawasan tersembunyi bagi mengaburi jejak pihak berkuasa.

“Tiga lelaki warga tempatan dan seorang rakyat asing berumur dalam lingkungan 32 tahun hingga 42 tahun ditahan kerana disyaki memiliki barang larangan import,” katanya.

Beliau menambah, kesemua mereka telah pun dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 20 November lalu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai digesa membantu pihak kastam dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya,” tegas beliau.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN