REMBAU: Bagi sesetengah kanak-kanak seusia, masa lapang yang ada, susulan penutupan sekolah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diambil untuk bermain selain menelaah pelajaran.
Namun, bagi Kasih Atikah Basri, 8, masa yang ada itu digunakannya untuk membantu bapa saudaranya, Kamarudin Ibrahim, 31, menjaga haiwan-haiwan ternakan.
Kasih Atikah yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Sepri dekat sini mengakui seronok membantu menjaga lembu peliharaan bapa saudaranya itu atau dipanggil Paksu di Kampung Chembong Kecil.
“Saya seronok sangat dapat tolong Pak Su sebab boleh bermain dengan lembu. Setiap pagi saya akan datang sini pada pukul 10 pagi untuk menjaga lembu yang meragut rumput sekitar kampung.
“Lembu yang saya sayang adalah Putih kerana ia jinak dan tidak garang. Paksu memberi kebenaran untuk saya memberi minuman air garam kepada lembu yang ada di situ kerana dapat menjinakkan lembu berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Kasih Atikah berkata, dia meluangkan masa setiap hari bersama kakaknya, Zohaika Basri, 15, termasuk bersama dua orang sepupunya, Aidil Adha Bakari, 12 dan Nur Umairah Bakari, 3, untuk menjaga ‘Putih’.
“Saya siapkan dulu kerja sekolah setiap petang sebelum menjaga lembu. Kami akan bermain bersama dengan Putih dan lembu lain sebelum diletakkan dalam kandang.
Sementara itu, Kamarudin berkata, dia mewarisi penternakan lembu daripada arwah bapanya, Ibrahim Mansor. “Sejak kecil lagi saya membawa mereka berjinak-jinak dengan lembu berkenaan dan kini mereka masih lagi gemar melakukannya,” katanya.
Sehingga kini, dia mempunyai 50 ekor lembu, 30 ekor kambing dan 60 ekor kerbau dengan anggaran nilai keseluruhan haiwan ternakan peliharaannya itu adalah sebanyak RM200,000.-UTUSAN ONLINE