IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dihanyutkan arus sungai di Kampung Chepor Dalam Selasa lalu ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry ditemukan pada pukul 2.55 petang di Sungai Kinta berhampiran Kawasan Perindustrian Lahat.
Mayat kanak-kanak itu dijumpai tersangkut pada batang pokok di tepi sungai oleh pasukan ‘rafting’, Kamparado.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat kanak-kanak itu ditemukan pada jarak 17 kilometer dari lokasi dia terjatuh di Sungai Chepor.
Katanya, mayat yang masih lengkap berpakaian itu dijumpai dengan beberapa kesan kecederaan di kepala dan badan.
“Mangsa dijumpai tersangkut pada batang pokok di bahagian tepi sungai. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Klebang terjatuh ketika mahu menyelamatkan rakannya yang sedang mengambil selipar sebelum hanyut dibawa arus deras. -UTUSAN ONLINE