MELAKA: Pengusaha bas yang kini tersepit dengan bebanan hutang ekoran tidak dapat beroperasi seperti biasa sejak beberapa bulan lalu cuba mengelak untuk memecat kakitangan mereka terutama para pemandu bagi mengurangkan kos operasi.
Rata-rata pengusaha berkata, meskipun menanggung kerugian tinggi, langkah itu tidak sanggup diambil mereka kerana memikirkan kekangan sara hidup dan peluang pekerjaan lain kepada pemandu yang sudah berusia.
Presiden Gabungan Bas Malaysia Cawangan Melaka, Muhammad Azwan Jajendran Abdullah berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan lagi, mereka tidak ada pilihan melainkan mengambil langkah drastik itu.
“Kami menanggung beban sejak Mac lalu sebelum dapat bernafas sikit selepas PKPB pertama dahulu tetapi kini tersepit lagi apabila banyak tempahan terpaksa dibatalkan ekoran larangan merentas negeri dan daerah.
“Selain gaji pekerja, kami juga perlu memastikan keadaan bas sentiasa dalam keadaan baik walaupun tidak bergerak dan itu belum ditambah lagi dengan bayaran bulanan yang perlu dijelaskan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah di sini hari ini.
Sebanyak lima laporan dilakukan ahli Gabungan Bas Malaysia Cawangan Melaka mewakili kira-kira 150 pengusaha terhadap lima kementerian kerana mendakwa tidak ada dana khusus diperuntukkan bagi membantu mereka.
Seorang lagi pengusaha, Mohd. Farid Eshak, 34, berkata, walaupun pekerja masih menerima insentif di bawah Program Subsidi Upah (PSU) sebanyak RM600 tetapi sebagai majikan mereka masih perlu menanggung bebanan kewangan yang tinggi.
“Apabila Covid-19 melanda kami tanggung bebanan dan bayar gaji pekerja seperti biasa tanpa apa-apa bantuan, biarpun kerajaan bantu separuh tetapi dari mana lagi kami nak selesaikan bakinya kerana perniagaan tidak beroperasi.
“Malah, para pengusaha bas yang terlibat membantu menaikkan industri pelancongan negara amat kecewa apabila Belanjawan 2021 langsung tidak menyentuh bantuan kepada kami secara khusus,” ujarnya.
Sementara itu, Cheng Chen Hwa, 32, berkata, kebanyakan pengusaha bas sepertinya yang membuat pinjaman melalui syarikat kredit amat terseksa untuk melangsaikan bayaran bulanan yang tidak mendapat penangguhan seperti ditawarkan pihak bank.
“Kami terpaksa membayar seperti biasa kerana ada syarikat kredit yang tidak memberi penangguhan itu. Saya sendiri perlu memperuntukan lebih RM100,000 sebulan untuk tujuan itu walaupun tiada pendapatan stabil sejak Mac,” katanya.
Sehubungan itu, mereka berharap rintihan pengusaha bas dapat didengari oleh kerajaan terutamanya membabitkan moratorium pinjaman dan bentuk-bentuk bantuan lain agar sektor itu dapat terus bertahan sehingga keadaan pulih sepenuhnya kelak. – UTUSAN