'Kami malu terima tetamu' - Utusan Malaysia

‘Kami malu terima tetamu’

SAHARUDDIN Abdul Manaf (kiri) dan Nor Raime Nor Rashid menunjukkan lalat yang terperangkap pada pelekat ketika ditemui di Lekir, Lumut semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Kalau boleh saya mengelak terima tetamu di rumah kerana bimbang mereka tidak selesa dihurung lalat.”

Itu kata Saharuddin Abdul Manaf, 49, penduduk di Kampung Tersusun Batu 7 Lekir dekat sini yang menghadapi masalah lalat.

Masalah dipercayai berpunca daripada ternakan ayam dalam ladang kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari kampung tersebut.

Saharuddin yang sudah lima tahun menetap di penempatan itu berkata, sepanjang tempoh tersebut juga dia terpaksa menjalani kehidupan bertemankan ribuan ekor lalat  yang turut ‘menghuni’ kampung berkenaan.

Dia difahamkan masalah lalat itu sebenarnya sudah lama berlaku di kawasan itu dipercayai sejak tahun 1990-an tetapi tidak ada penyelesaian sampai sekarang.

“Kehadiran lalat kadang-kadang ikut musim, ada kalanya terlalu banyak dan ada juga masa agak berkurangan tetapi yang pasti sentiasa ada lalat.

“Memang rasa tidak selesa terutama jika mahu buat kenduri kendara dan jika tetamu nak datang juga biasanya saya cadangkan mereka datang waktu malam kerana bilangan lalat agak kurang waktu itu.

“Tetapi, waktu malam pula bila ada angin bertiup dari arah tertentu, terhidu bau kurang menyenangkan seperti bau dedak ayam,” katanya ketika ditemui semalam.

Berikutan masalah itu, Saharuddin terpaksa memasang jaring di tingkap dan ruang terbuka rumahnya.

“Namun apabila dia keluar rumah pasti ada antara lima hingga 10 ekor lalat menghurung dan hinggap pada badan seolah-olah menjadi strategi haiwan itu untuk masuk ke dalam rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nor Raime Nor Rashid, 43, percaya masalah itu berpunca daripada ternakan ayam dalam ladang kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari kampung tersebut.

Dia yang baru berpindah ke kampung itu berkata sering melihat lori yang membawa sangkar ayam masuk ke dalam kawasan ladang sawit berhampiran pada waktu siang.

Sehubungan itu, Nor Raime meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sama ada ternakan ayam itu diusahakan secara berdaftar atau sebaliknya serta sama ada ia dijalankan secara teratur.

“Mungkin orang lain sudah biasa dengan keadaan ini tetapi bagi saya yang baru tinggal di sini merasakan ia luar biasa terpaksa makan, minum, mandi, solat dan tidur ditemani lalat.

“Pasang kipas dengan kelajuan maksimum pun tidak mampu menghalau lalat, cuma ia berkurangan apabila waktu malam jika lampu ditutup, kalau pasang lampu ia tetap datang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, beliau mengambil maklum masalah dialami penduduk di situ dan akan menyemak dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut. 

“Semakan akan dibuat untuk mengenal pasti ternakan ayam yang dikatakan itu dan statusnya kerana lesen ternakan ayam dikeluarkan oleh JPV,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya