SEREMBAN: Desakan pihak syarikat kredit agar menjelaskan bayaran ansuran bulanan membuatkan pengusaha-pengusaha bas sekolah kini tertekan.
Lebih meresahkan, apabila tiada sebarang bantuan yang mereka terima dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu.
Menurut Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof, pengusaha-pengusaha bas kini terdesak dengan syarikat kredit yang sering memberikan tekanan.
“Kami tidak minta duit dengan kerajaan pasal banyak orang tuduh hari ini, kami orang bas mintak duit. Itu silap itu salah sebenarnya, kami minta kerajaan supaya campur tangan bagi moratorium ini bincang dengan pihak kredit bagi pihak kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai isu berkenaan di Balai Polis Rahang, dekat sini malam semalam.
Tambah Mohd. Rofik, pengusaha bas sekolah hanya minta supaya penangguhan pembayaran ansuran daripada syarikat kredit sementara menunggu perniagaan pulih seperti sedia kala.
“Ramai dalam kalangan pengusaha yang ada hari ini, bas sudah kena rampas, ada yang sorokkan bas malah ada yang tertekan kerana perlu berhadapan dengan syarikat kredit yang setiap hari meminta pembayaran ansuran dibuat.
“Kalau ansuran bas ni sebulan RM500 ke RM1,000 mungkin boleh lagi kami cari jalannya tetapi kalau bas baharu, ia mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 sebuah. Sebuah bas harga RM700,000 ke RM1 juta kalau bas yang dua tingkat.
“Laporan ini kami buat kerana kami ada berjumpa dengan pelbagai kementerian sebelum Belanjawan 2021 lalu, masalah kami tidak sampai ke pihak atasan. Jadi kemana hala tuju kami ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE