‘Kamen Rider’ bantu jual jambu
IPOH: Hilang kerja sebagai pemandu peribadi akibat wabak Covid-19, seorang lelaki kini mencari rezeki dengan berniaga jambu dan mangga asam boi.
Apa yang menarik, lelaki tersebut, Samad Ismail, 31, menggunakan kreativiti sendiri untuk menarik pelanggan dengan memakai kostum watak adiwira popular Jepun, Kamen Rider.
Gelagatnya yang memakai kostum ‘kamen rider’ menjual jambu dan mangga asam boi di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini menarik perhatian pengunjung.
Sambil memegang dua bekas berisi buah, watak adiwira popular Jepun itu bukan sahaja mesra melayan pelanggan yang singgah membeli malah mengambil peluang untuk bergambar.
Menurut Samad, dia mula berniaga dengan menggunakan kostum yang dihasilkannya sendiri itu sejak sebulan lalu.
Katanya, minat terhadap adiwira itu memberi idea kepadanya untuk dijadikan gimik bagi melariskan jualan walau terpaksa berpanas sepanjang menyarungkan kostum tersebut.
“Saya memang minat dengan kamen rider dan kostum ini saya sendiri yang hasilkan. Selain kamen rider, saya juga ada enam kostum lain termasuk mickey mouse, hello kitty dan winnie the pooh.
“Saya pakai kostum ini sebagai gimik. Ramai yang singgah sebab tertarik dengan kostum dan alang-alang membeli buah, mereka juga tidak melepaskan peluang bergambar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Samad memberitahu, dia berniaga di Padang Polo pada setiap hujung minggu bermula pukul 4.30 petang dengan membawa 35 bekas buah berisi jambu dan mangga.
Katanya, buah-buah tersebut dipotongnya sendiri dan dijual pada harga RM10 bagi setiap bekas.
“Selain berniaga di sini, saya juga membuat kerja sambilan lain iaitu sebagai penghantar di syarikat penghantaran makanan. Dua kerja ini saya lakukan bagi menambah pendapatan.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu peribadi selama 10 tahun namun semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat Covid-19, saya telah diberhentikan kerja oleh majikan,” katanya.-UTUSAN ONLINE