Jururawat rugi RM55,800 angkara Love Scam - Utusan Malaysia

Jururawat rugi RM55,800 angkara Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jururawat yang ketakutan kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM55,800 lesap sekelip mata gara-gara terpedaya sindiket Love Scam.

Wanita berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah klinik swasta di negeri ini pada mulanya ‘berkenalan’ dengan seorang lelaki melalui laman sosial Instagram sejak awal Oktober lalu.

Tidak lama kemudian, mangsa mula terpedaya apabila suspek yang menggunakan identiti palsu mendakwa mengirimkan hadiah berupa patung beruang untuk anak-anak mangsa sebagai tanda persahabatan mereka.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Deputi Superintenden Fazli Rashid berkata, mangsa bagaimanapun telah dihubungi seseorang yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat kurier.

“Suspek menyatakan mahu menghantar kiriman itu yang turut mengandungi barang-barang berharga termasuk jam tangan, telefon bimbit, barang kemas dan sejumlah wang tunai.

“Ejen kurier tersebut menakutkan mangsa konon dia akan ditangkap kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram memandangkan terdapat wang tunai dalam kiriman itu,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Fazli, mangsa kemudian dituntut membuat sejumlah bayaran bagi melepaskan dirinya daripada dakwaan tersebut.

“Mangsa yang takut dan percaya dengan kata-kata itu tanpa berfikir panjang terus melakukan transaksi bayaran ke empat akaun bank berbeza,” katanya.

Ujar beliau, wanita itu hanya menyedari dia tertipu apabila suspek masih lagi menuntut wang daripadanya walaupun sudah memasukkan sebanyak RM55,800.

Kata Fazli, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan tipu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya