SEREMBAN: Jurulatih yang akan mengendalikan pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan FC bagi saingan Liga Malaysia 2021 akan diketahui minggu depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri berkata, beberapa nama jurulatih sudah disenarai pendek dan satu lagi perbincangan akan diadakan di antara PBNS dan jurulatih-jurulatih tersebut.
“Pemilihan jurulatih baharu akan diumumkan minggu depan, beberapa nama sudah disenarai pendek dan kami akan mengadakan pertemuan dengan mereka awal minggu, selesai proses itu nanti kita akan ketahui siapa ketua jurulatih Negeri Sembilan, itu yang mustahak dan kemudian kami akan maklumkan.
“Mereka jurulatih tempatan, ada nama-nama seperti yang disebut-disebut (media) sebelum ini. Pemain belum lagi disenaraikan siapa, kita kenal pasti jurulatih, barulah kita senaraikan pemain-pemain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco PBNS di Rahang, dekat sini.
Baru-baru ini, bekas pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan ada mengadakan pertemuan dengan pihak PBNS berhubung kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad Jang tersebut.
Selain beliau, beberapa nama turut dikaitkan untuk membimbing Negeri Sembilan musim hadapan antaranya jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan dan pengendali Petaling Jaya (PJ) City FC, K.Devan. – UTUSAN ONLINE