Jurujual tak mengaku sebabkan kematian operator kilang

Jurujual tak mengaku sebabkan kematian operator kilang

HOI Yew Seng dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual didakwa di Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang, tiga hari lalu.

Hoi Yew Seng, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dakwaan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Nelzin Didal Mat Lazim, 44 kira-kira pukul 11.35 pagi, 27 November lalu di di kilometer 3.8, Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Hulu Langat, di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin dibuat mengikut Seksyen  44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama 10 tahun.

Pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin namun peguam bela, Tan Teck Yew memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

“Pendapatan tertuduh terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dia juga mempunyai tiga orang anak manakala isterinya tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu Yew Seng perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Februari 2021.

Menurut laporan media, seorang operator kilang maut selepas motosikalnya dilanggar kereta jenis Mercedes Benz dipandu lelaki dipercayai mabuk.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam laporan itu memberitahu saksi kejadian menyatakan bahawa kereta terbabit dipandu dalam keadaan ‘zig zag’ selepas melepasi Plaza Tol LEKAS sebelum merempuh motosikal mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN