Juruiring Yang di-Pertuan Agong serah watikah ucapan takziah - Utusan Malaysia

Juruiring Yang di-Pertuan Agong serah watikah ucapan takziah

YAHAYA Othman (kanan) menyampaikan watikah ucapan takziah kepada balu mendiang Koperal Baharuddin, Relow Along Ko dalam satu majlis di Kampung Orang Asli Sungai Sampo, Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol, Jempol petang tadi.-Gambar Ihsan PDRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Pemergian mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut dalam kejadian tembakan di Tembok Sempadan (TS9) Padang Besar, Perlis, semalam mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah diwakili juruiring baginda, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Yahaya Othman hari ini menyampaikan sumbangan kepada waris mendiang, iaitu balu, Relow Alang Ko.

Majlis penyerahan diadakan di rumah keluarga mendiang di Kampung Orang Asli Sungai Sampo, Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol dekat sini, petang tadi.

Pada majlis tersebut, Yahaya menyampaikan watikah ucapan takziah kepada keluarga mendiang selain turut menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada balu mendiang.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd. Nor, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook dan Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintenden, Mansor Samsudin.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi Facebook Istana Negara hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin selain turut bersedih atas pemergian mendiang.

Seri Paduka berdua turut berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

Baharuddin, anggota anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut selepas terkena tembakan di bahagian perut selepas bertempur dengan lebih 13 penyeludup dari Thailand dalam kejadian kira-kira 600 meter dari TS9, Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.

Koperal T. Norihan, 39 pula cedera parah selepas terkena tembakan di bahagian kiri perut dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.

Baharuddin meninggalkan seorang balu, Relow Alang Ko, 48 dan tiga anak berusia antara 18 dan 32 tahun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya