KEMAMAN: Seorang juruelektrik maut manakala rakan sekerjanya cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 266.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh di sini malam tadi.
Nahas kira-kira pukul 9.30 malam itu mengakibatkan Junazeni Taha, 45, dari Felda Kertih Satu di Ketengah Jaya, Dungun putus tangan kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit di antara kenderaan Perodua Kenari dipandunya dengan besi penghadang jalan.
Bagaimanapun, rakannya, Muhammad Normasrie Aziz hanya mengalami luka di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika kedua-duanya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, dari arah Kuantan ke Terengganu.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu Junazeni yang hilang kawalan itu kemudian melanggar besi penghadang jalan di bahagian kiri sebelum terbalik secara mengiring.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat manakala rakannya dirawat di unit kecemasan hospital sama,” katanya kepada pemberita.
Menurut Hanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, isteri Junazeni, Wan Nasrah Wan Jaafar, 44, tidak menyangka kepulangan lewat suaminya dari tempat kerja bertukar tragedi.
Ibu kepada lima anak berusia antara empat hingga 15 tahun itu berkata, hatinya mulai tidak sedap apabila terbaca mesej di aplikasi WhatsApp tentang kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kenari berwarna hijau dan terus menghubungi suaminya, namun tidak berjawab.- UTUSAN ONLINE