PUTRAJAYA: Dua lagi individu iaitu bekas ketua pegawai pemasaran syarikat telekomunikasi dan pengarah syarikat swasta direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Penahanan itu menjadikan seramai 16 individu ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan sejak 10 November lalu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 49 dan 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
Jelasnya, mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.
Tambah sumber, nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider’ dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.
Perintah reman sehingga 21 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd. Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.
Kata sumber lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. -UTUSAN ONLINE