KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mencatat kutipan kompaun RM763,830 dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali berkata, bagaimanapun jumlah tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 44 peratus iaitu RM969,360 dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, penurunan tersebut bukanlah menunjukkan pengurangan aktiviti penguat kuasaan oleh JPJ negeri sebaliknya atas kesedaran orang ramai mematuhi peraturan jalan raya.
“Pengurangan jumlah saman yang dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas di negeri ini adalah berikutan peningkatan kesedaran terhadap pematuhan peraturan jalan raya. Ia juga disebabkan rasa bimbang dikenakan tindakan.
“Untuk rekod, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober ini, JPJ Perlis telah mengeluarkan sebanyak 5,502 notis saman kepada pemandu yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas, berbanding 5,944 notis saman pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas program menembak jemputan bersama media dan agensi terbabit di Lapang Sasar Genting Kabu, Batu Pahat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, pemasangan lampu High Intensity Discharged (HID) secara aksesori (retrofit) adalah tidak dibenarkan kecuali penukaran keseluruhan sistem lampu tersebut dengan mendapat akreditasi daripada badan yang diberi kuasa seperti SIRIM.
“Lampu HID yang dipasang secara aksesori dengan kuasa melebihi standard yang telah ditetapkan boleh menganggu penglihatan dan seterusnya memudaratkan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 boleh diambil kepada sesiapa yang melakukan kesalahan tersebut dan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih enam bulan dibawah Sekyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN