JOHOR BAHRU: Tidak memakai topi keledar mencatatkan jumlah tertinggi kesalahan penunggang motosikal di negeri ini iaitu melibatkan 1,150 saman.
Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, jumlah itu direkodkan dalam Op Topi Keledar yang dijalankan pihaknya selama tiga hari bermula 17 November lalu.
Menurutnya, statistik itu menunjukkan kurangnya pematuhan penunggang motosikal dalam aspek pemakaian topi keledar.
“Op Topi Keledar yang dilaksanakan bermula 17 November hingga 19 November lalu itu melibatkan pelbagai jalan raya utama di seluruh Johor, termasuklah di Johor Bahru, Muar dan Pontian.
“Sebanyak 1,150 saman telah dikeluarkan kerana kesalahan tidak memakai topi keledar, perkara ini perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor di sini hari ini.
Dalam operasi sama juga, kata Azmil, terdapat 90 kesalahan lain yang turut dicatat termasuk tamat cukai jalan, tiada insurans, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit.
Menurutnya, majoriti daripada kesalahan itu dicatat menerusi penguatkuasaan secara rakaman video oleh pegawai dan anggota JPJ negeri sendiri.
Azmil turut memberitahu, penguatkuasaan undang-undang pemakaian topi keledar dimulakan sejak 1997, namun kadar pematuhannya ketika ini amat rendah.
“Antara alasan utama yang diberi ketika ditahan adalah mereka hanya jalan dekat-dekat, termasuklah untuk mengunjungi kedai berhampiran.
“Namun, mengikut undang-undang, sebaik sahaja penunggang menunggang motosikal, mereka perlu memakai topi keledar, ini sebenarnya demi keselamatan mereka sendiri,” ujarnya. – UTUSAN