Johor syor PKPB secara bersasar - Utusan Malaysia

Johor syor PKPB secara bersasar

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di negeri ini mulai semalam dilakukan secara bersasar.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, syor itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang dipengerusikannya hari ini.

Katanya, PKPB hanya perlu dikuatkuasakan di kawasan atau zon merah yang mempunyai jangkitan tinggi dan bukannya di seluruh negeri seperti dikuatkuasakan ketika ini.

“Perkara ini amat penting supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan yang mempunyai jangkitan rendah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan PKPB bagi seluruh negeri di Semenanjung termasuk Johor kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember ini.

Dalam pada itu kerajaan negeri menerusi mesyuarat itu juga menyarankan prosedur operasi standard (SOP) kepada bagi pembukaan sempadan skim ketiga iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) dengan Singapura.

Katanya, ini merupakan cadangan skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang dilaksanakan pada masa kini.

“Meskipun kuasa penuh pembukaan sempadan kedua-dua negara adalah dalam bidang kuasa Persekutuan, namun kerajaan negeri bersedia dengan kapasiti yang sepatutnya bagi menjayakan DCA.

“Pembukaan skim ketiga ini penting bagi memudahkan pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak bermulanya penutupan sempadan lapan bulan lalu,” katanya.

Hasni berkata, mesyuarat turut mencadangkan tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang selain PCA agar dilaksanakan selama tujuh hari di pusat kuarantin dan rumah masing-masing.

Katanya, ini ekoran mana-mana pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa adalah diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Sehubungan itu, Hasni berharap supaya ketiga-tiga saranan kerajaan negeri itu dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Pusat.

“Semoga saranan-saranan ini dipertimbangkan dengan kadar segera demi kebaikan dan kesejahteraan bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya