Johor rekod 28 kesalahan pencatutan harga sepanjang Deepavali

Johor rekod 28 kesalahan pencatutan harga sepanjang perayaan Deepavali

CHONG Fat Full (dua dari kanan) menyertai operasi kawalan harga dijalankan di Pasar Raya Maslee, Taman Molek, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 28 pelbagai kesalahan antaranya menaikkan harga barangan telah direkodkan di seluruh Johor sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bersempena perayaan Deepavali.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, ia membabitkan 25 kes kesalahan kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan dan tiga kes membabitkan menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu, sebanyak 28 kesalahan telah direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan jumlah kompaun sebanyak RM3,350.

“Sepanjang pelaksanaan skim ini juga, kita telah menerima lima aduan berkaitan penjualan barang kawalan melebihi harga yang dikawal. Hasil siasatan mendapati satu premis telah dikompaun kerana kesalahan tidak mematuhi Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan empat aduan ditutup kerana didapati peniaga masih lagi mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hairul, pihaknya telah menjalankan 1,413 pemeriksaan barangan di peringkat peruncitan dan pemborong bermula 9 November lalu sehingga hari ini di seluruh Johor.

Katanya, ia melibatkan 1,342 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 71 pemeriksaan di peringkat pemborong.

“Kita mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan melibatkan tidak memaparkan tanda harga dan menjual melebihi harga ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan pemeriksaan di pasar raya Maslee, Taman Molek di sini hari ini sambil disertai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN