ISKANDAR PUTERI : Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan 2021 dengan defisit sebanyak RM248.14 juta selepas merekodkan belanjawan lebihan selama 10 tahun berturut-turut pada sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri pada tahun depan adalah sebanyak RM1,609.07 juta manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1,857.21 juta
Katanya, Kerajaan Negeri dijangka akan membelanjakan sebanyak RM850 juta menerusi Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan 12 Agenda Utama Belanjawan Johor 2021.
“Senario ini menunjukkan Belanjawan Johor 2021 adalah belanjawan defisit iaitu sebanyak RM248.14 juta.
“Ya, belanjawan ini adalah belanjawan yang defisit. Dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan berfokus,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema ‘Berdaya Tahan Demi
Kemakmuran’ pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di sini hari ini.
Hasni memaklumkan, perbelanjaan mengurus yang merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM997.21 juta, iaitu RM513.69 juta bagi emolumen dan RM483.51 juta bagi perbelanjaan lain-lain.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat dua strategi kewangan bagi Belanjawan Johor 2021 iaitu dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada pada Kerajaan Negeri termasuk menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“PBT akan memperuntukkan sebanyak RM562 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan, kebajikan dan menangani Covid-19.
“Kerajaan Negeri menerusi (GLC) juga membantu dalam menjayakan inisiatif pembangunan di Negeri Johor,” katanya.
Menurut beliau lagi, strategi kedua adalah berpandukan konsep ‘counter-cyclical measures’.
“Kerajaan Negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang sehingga ekonomi negeri kembali mengembang,” katanya. -UTUSAN ONLINE