JOHOR BAHRU: Pelaksanaan solat Jumaat dan solat Fardu secara berjemah di seluruh masjid dan surau di negeri ini kekal seperti biasa meskipun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran itu turut terpakai di kesemua zon yang diklasifikasi sama ada merah, kuning atau hijau.
Menurut beliau, solat Jumaat dan solat fardu di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagaimanapun tidak dibenarkan.
“Kebenaran untuk menunaikan solat di masjid dan surau negeri ini sepanjang tempoh PKPB adalah terhad kepada satu pertiga kapasiti masjid dan surau sedia ada.
“Ini bermakna prosedur operasi standard (SOP) berkenaan seperti penjarakan fizikal sedia ada ketika ini akan diteruskan bagi terus menghidupkan syiar Islam di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini. Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut.
Kerajaan baru-baru ini memaklumkan penguatkuasaan PKPB dilaksana di semua negeri semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember ini.
Dalam pada itu, Tosrin turut memberitahu, urusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk turut dibenarkan namun hendaklah dilaksana di Pejabat Kadi Daerah sahaja sepanjang tempoh PKPB.
“Kursus pra-perkahwinan di negeri ini hendaklah dibuat secara atas talian sahaja dan kursus secara bersemuka adalah ditangguhkan,” ujarnya.
Sementara itu, Tosrin turut memberitahu pengurusan fan pengkebumian jenazah serta ziarah tanah perkuburan turut dibenarkan namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Antaranya termasuklah jika kematian melibatkan individu dalam tempoh kuarantin 14 hari, jenazah perlu dibawa ke hospital untuk diuruskan mengikut cara ditetapkan pihak hospital.
“Pelaksanaan pengurusan jenazah di masjid dan surau pula hendaklah tidak melebihi lima orang termasuk waris dan kariah.
“Sementara itu urusan pengkebumian dibenarkan dihadiri seramai 50 orang bagi zon hijau dan kuning, manakala 20 orang bagi zon merah,” ujarnya lanjut.
Tambah Tosrin lagi, urusan ziarah ke tanah perkuburan pula dihadkan kepada 15 minit sahaja.
Sementara itu, beliau menambah pelaksanaan program pengimarahan di masjid dan surau seperti bacaan surah yasin, majlis Maulidur Rasul dan solat jenazah bagi zon hijau dan kuning dibenarkan mengikut SOP ditetapkan, manakala program bagi kawasan zon merah tidak dibenarkan. – UTUSAN