IPOH: Penduduk di Taman Desa Pinji, Lahat di sini kesal dengan tindakan seorang jiran mereka yang menternak kambing dalam kandang yang dibina berdekatan rumahnya di kawasan perumahan tersebut.
Keadaan itu menyebabkan bau busuk selain haiwan ternakannya dibiarkan berkeliaran di padang berhampiran.
Penduduk berkata, pemimpin komuniti setempat pernah menegur sikap lelaki berkenaan namun tidak diendahkan, menyebabkan penduduk hanya mampu bersabar selain terpaksa menghidu bau busuk.
Seorang penduduk, Meor Redwan Meor Ibrahim, 45, berkata, kandang kambing tersebut dibina sejak setahun lalu di satu tanah lapang berdekatan parit besar bersebelahan padang permainan.
Katanya, beberapa penduduk pernah berjumpa dengan lelaki tersebut meminta dia memindahkan ternakannya ke kawasan lain yang lebih sesuai.
“Namun lelaki itu tidak mengendahkan pun teguran kami. Bayangkan, jika pada hari hujan penduduk terpaksa menahan bau busuk termasuk pada waktu malam.
“Dianggarkan terdapat lebih 20 ekor kambing dipelihara, malah haiwan-haiwan ini berkeliaran meragut rumput di padang permainan,” ujarnya.
Perasaan marah turut diluahkan seorang penduduk lain, M. Suresh, 39, yang mahu pihak penguat kuasa Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) bertindak kerana aduan telah dibuat sebelum ini.
Katanya, penguat kuasa MBI pernah turun padang meninjau dan bertemu pemilik ternakan tersebut tetapi penduduk tidak tahu apa tindakan yang telah diambil.
“Menternak ayam, itik di kawasan perumahan pun tidak boleh apa lagi membina kandang kambing. Sepatutnya di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan pemilik boleh dikenakan kompaun, merampas dan memusnahkan kandang haiwan ternakan.
“Anda boleh bayangkan bagaimana penduduk terpaksa menghidu bau busuk dan lalat selama berbulan kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE