JEMPOL: Mendiang Koperal Baharuddin Ramli, anggota dari Batalion 3 Anggota Gerakan Am (PGA) yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di Tembok Sempadan (TS9) Padang Besar, Perlis, semalam selamat dikebumikan hari ini.
Mayat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Air Hitam, Bandar Seri Jempol dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Terdahulu, mayat mendiang tiba di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Sampo kira-kira pukul 3.45 pagi tadi selepas proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selesai kira-kira 6.20 petang semalam.
Hadir sama memberikan penghormatan terakhir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof.
Turut hadir, ahli keluarga mendiang, penduduk kampung, anggota polis dan rakan-rakan yang sama mengiringi jenazah.
Baharuddin, 54, maut selepas terkena tembakan di bahagian perut selepas bertempur dengan lebih 13 penyeludup dari Thailand dalam kejadian kira-kira 600 meter dari TS9, Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.
Rakannya, Koperal T. Norihan, 39 pula cedera parah selepas terkena tembakan di bahagian kiri perut dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.
Norihan kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan membuang peluru pada ususnya. -UTUSAN ONLINE