JBPM latih nelayan jadi bomba bantuan - Utusan Malaysia

JBPM latih nelayan jadi bomba bantuan

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia melatih lebih ramai komuniti nelayan bertugas sebagai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di kawasan pantai.

Sehubungan itu, Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, seramai 23 nelayan dari Kelantan dan Terengganu dipilih jadi perintis pasukan PBB Safety Waters and Rescue Team (SWART).

“Mereka kini di empat lokasi di dua negeri ini sebagai pasukan hadapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana mahir topografi termasuk pasang surut air laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan pelancaran PBB SWART dan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dibuat secara maya dari ibu pejabat JBPM di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis disiarkan lintas langsung dari Pantai Irama, Bachok, Kelantan itu ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid, pegawai KPKT serta JBPM.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, penglibatan golongan nelayan pantai turut dapat membantu mereka memperoleh pendapatan sampingan menerusi elaun ketika tidak dapat turun ke laut.

“Ini terutama ketika musim tengkujuh akibat hujan monsun Timur Laut dari Disember sehingga Mac apabila banyak kawasan rendah dilimpahi banjir dan bencana alam lain,” jelas beliau lagi.

Justeru, Zuraida mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan yang bersetuju menaikkan kadar elaun daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam bermula awal tahun depan.

Namun tegas beliau, masyarakat pada masa sama tidak boleh berserah begitu sahaja kepada pasukan PBB SWART untuk langsung menghapuskan kes mati lemas khasnya di pinggir laut.

“Risiko kehilangan nyawa masih tetap lagi berlaku, tetapi penubuhan pasukan ini diharap dapat mengurangkan jumlah kematian di air yang agak tinggi khususnya di kawasan tepi pantai.

Statistik JBPM sendiri malahan menunjukkan dari 1 Januari sehingga 31 Oktober lepas, 198 kes mati lemas direkodkan berbanding hanya 192 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Zuraida berharap, PBB SWART juga dapat melatih penduduk kampung berhampiran pantai mengenai cara menyelamat mangsa dan memberi kesedaran berhubung ancaman bahaya air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya