KUALA LUMPUR – Bilangan jemaah untuk solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat di zon hijau dan kuning bagi Wilayah-wilayah Persekutuan diperluaskan sehingga 1/3 daripada kapasiti dewan solat utama.
Perkara itu berkuat kuasa hari ini hingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail berkata, bagi kawasan zon merah pula hanya 12 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan tiga jemaah bagi solat fardu lima waktu.
Katanya, jumlah jemaah solat fardu lima waktu di zon hijau dan kuning pula adalah maksimum 30 oarng tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter antara jemaah.
“Dalam masa yang sama semua masjid, surau Jumaat dan surau diri Jumaat secara sementara di zon hijau dan kuning di seluruh wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya disaran melaksanakan solat hajat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi yang amat membimbangkan kita semua.
“Solat hajat itu disarankan selepas solat Jumaat hari ini dan selepas solat Maghrib pada 7,8 dan 9 November. Semoga doa yang dimunajatkan dengan penuh keikhlasan, rendah diri, keyakinan dan pengharapan diperkenankan oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.
Ajib turut memngingatkan semua masjid, surau Jumaat dan surau agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak penyebaran Covid-19.