JOHOR BAHRU : Penubuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) tidak memerlukan peruntukan besar iaitu sebanyak RM85.5 juta kerana perkara paling penting adalah keberkesanan kaedah kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Bekas Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa jabatan itu memerlukan belanjawan besar kerana perlu mengambil kakitangan lebih ramai telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Katanya, persoalan ditimbulkan sama ada Jasa akan menjadi jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum kelak
“Apakah mereka akan menjadi jentera Bersatu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhadapan masalah kekurangan cawangan dan ahli di akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saifuddin mengaku peruntukan empat kali ganda itu digunakan untuk membangun komunikasi strategik yang kuat. Apakah tidak mungkin ia juga akan digunakan Bersatu untuk PRU-15 atau menaja portal politik tertentu?
“Apatah lagi SPR akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu pada pilihan raya akan datang antaranya tidak membenarkan kempen rumah ke rumah dan ceramah terbuka, sudah tentu media sosial akan menjadi alat kempen utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Puad menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan penjelasan secara terperinci di Parlimen dan seterusnya kerajaan perlu pindaan sebelum belanjawan diluluskan terhadap Jasa dengan ikut jumlah pada 2018 atau dikurangkan lagi.
Sementara itu, Mohd. Puad menambah, Saifuddin tidak perlu defensif bahawa Jasa tidak ada kaitan politik kepada kerajaan kerana menjadi penubuhannya sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi kerajaan secara strategik
“Itu memang tujuan Jasa. Ia tetap dikaitkan dengan politik. Jangan apologetik,” katanya,
Beliau menambah, menjadi isu di sini adalah peruntukan sebanyak RM85.5 juta yang disifatkan tidak sensitif kepada keutamaan negara dilanda gelombang tiga Covid-19. -UTUSAN ONLINE