Jasa tetap relevan wujud semula - Utusan Malaysia

Jasa tetap relevan wujud semula

ABDUL Rahim Tamby Chik (tengah) menerima kunjungan Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Peringgit Point, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dirancang untuk diwujudkan semula selepas dibubarkan oleh Pakatan Harapan (PH) amat relevan bagi memperkasa penghayatan masyarakat terhadap semangat patriotisme dan nasionalisme.

Veteran politik yang juga bekas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, beliau berharap Jasa dijenamakan menjadi Jabatan Setia Negara kerana kepentingan organisasi itu yang strategik untuk memastikan Malaysia sentiasa ditadbir oleh warganya yang cinta dan sayang kepada negara.

Menurut beliau, Jasa juga dahulunya berperanan luas untuk melihat keperluan rakyat di peringkat akar umbi yang sepatutnya mendapat pembelaan tanpa melihat warna kulit, agama dan budaya.

“Dalam konteks ini, kewujudan semula Jasa atau saya suka memanggilnya Jabatan Setia Negara untuk menggantikan Jasa dan Biro Tata Negara (BTN) yang telah dibubarkan dalam era kerajaan PH dahulu adalah sangat relevan dan amat signifikan.

“Semangat patriotisme dan nasionalisme sebenarnya akan menghindarkan sifat-sifat buruk  seperti salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Peringgit Point, semalam.

Polemik penubuhan semula Jasa mula diperkatakan selepas pembentangan Belanjawan 2021 awal bulan ini yang menyaksikan kerajaan memperuntukan lebih RM80 juta kepada agensi itu untuk dihidupkan semula.

Semalam, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peranan Jasa boleh dimainkan agensi sedia ada seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kerana tidak berbaloi dana sebesar itu digunakan semata-mata untuk menerangkan dasar kerajaan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berkata, setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan perlu menubuhkan koperasi sendiri bagi membantu memulihkan ekonomi negara yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, koperasi tersebut boleh dipimpin sendiri oleh ahli persatuan yang mampu memberi pulangan baik kepada mereka menjana pendapatan sendiri.

“Ini sesuai dengan dasar Gabem yang menggalakkan setiap persatuan di negara ini menubuhkan koperasi sendiri dan menjayakan matlamat-matlamat ekonomi serta perniagaan yang terancang dan berproduktiviti. Banyak sektor boleh diteroka untuk koperasi melalui peluang-peluang yang tersedia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya