JAS Perlis keluarkan 160 kompaun - Utusan Malaysia

JAS Perlis keluarkan 160 kompaun

TEH Chai Aan menyampaikan hadiah kepada wakil Sekoleh Kebangsaan Putra iaitu pemenang tempat pertama Pertandingan Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik peringat negeri Perlis di Hotel Ants, Bintong di sini hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengeluarkan 160 kompaun yang sebahagian besarnya berkaitan kegagalan pematuhan premis terhadap buangan terjadual dengan nilai keseluruhan RM320,000 dari Januari sehingga kini.

Pengarah JAS negeri, Azman Shah Ismail berkata, nilai setiap kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM2,000 dan ada daripadanya melibatkan pembakaran terbuka.

“Sebahagian besar yang dikenakan kompaun terdiri daripada pengusaha bengkel kenderaan dan motosikal yang diambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Oleh itu, kami ambil peluang dalam seminar ini dengan berkongsikan bagaimana menguruskan alam sekitar dengan baik bersama hampir 120 peserta yang kira-kira 80 peratus adalah pengusaha bengkel di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Hotel Ants, Bintong di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatan kuasa Alam Sekitar negeri, Teh Chai Aan berkata, JAS Perlis berjaya mengumpulkan 25,000 kilogram barang buangan terjadual terdiri daripada buangan elektrik dan elektronik (e-waste), iaitu satu pertiga dari keseluruhan sasaran 63,000 kilogram untuk seluruh negara.

Katanya, barang buangan tersebut dikutip melalui Kempen Pengumpulan Elektrik dan Elektronik sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Kebangsaan 2020 bermula 21 September hingga 21 Oktober.

Katanya, buangan terjadual  yang tidak diuruskan dengan betul itu boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan manusia dan alam sekitar ekoran tindak balas bahan kimia sama ada dalam jangka pendek atau panjang.

“Antara sektor yang banyak menyumbangkan kepada pembuangan e-waste adalah  seperti komputer, alat telekomunikasi dan televisyen. 

“Jika buangan ini diuruskan dengan baik, ia dapat memberikan pulangan yang lumayan kerana ia mengandungi logam-logam bernilai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya