BENTONG: Istilah dan penggunaan sedekah atau sumbangan perlu diberi perhatian agar tidak mengelirukan dan menimbulkan isu dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, berdasarkan kepada syariat Islam, sedekah wajib hanyalah bayaran zakat yang diwajibkan kepada umat Islam yang layak.
Katanya, selain daripada zakat, sedekah adalah sunat yang mana setiap individu boleh membuat keputusan sama ada untuk bersedekah atau pun tidak berdasarkan keikhlasan masing-masing.
“Zakat kalau tidak bayar adalah haram dan berdosa tetapi sedekah ini adalah sunat yang mana setiap individu boleh memilih sama ada mahu bersedekah ataupun tidak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini tular dalam media sosial surat arahan menyatakan setiap warga peneroka di Felda Sungai Tekam Utara di Jerantut diwajibkan menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sedekah RM300 yang mana kutipan ini dijalankan dengan kadar kutipan RM50 sebulan.
Selepas menjadi isu, perkara itu mendapat reaksi Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh yang menyatakan tiada paksaan dalam sedekah dan susulan itu pihak Felda Sungai Tekam Utara mengeluarkan surat penarikan semula surat makluman kutipan bulanan terdahulu.
Dalam pada itu, Pengerusi Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, isu ‘sedekah wajib’ yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku dalam organisasi Felda perlu dijadikan pengajaran agar segala tindakan selepas ini khususnya melibatkan kepentingan masyarakat dapat dilakukan dengan teliti.
Jelasnya, perkara disebabkan kelemahan urus takbir Felda oleh pengurusan yang kurang berpengalaman perlu dielakkan daripada berlaku dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Benda yang sekecil-kecil ini pun berlaku. Sudah tahu peneroka berada dalam keadaan daif dan susah, wang sara hidup pun kadang dapat kadang tidak, proses tanaman semula pun tidak sempurna alih-alih ada pula ‘sedekah wajib’. Ini satu perkara yang tidak logik diakal, tidak munasabah dan sukar diterima oleh warga Felda keseluruhannya.
“Jadi kita berharap setiap tindakan dibuat itu perlu berbincang dengan wakil-wakil peneroka, beri penerangan, bagi penjelasan dan jangan keluarkan arahan yang akibatnya menampakkan kelemahan pentadbiran Felda serta memalukan 112,638 warga Felda seluruh negara,” ujarnya.
Tambah Abdullah, selama ini warga peneroka sememangnya sering melakukan sedekah dan membantu golongan yang memerlukan berdasarkan kepada kemampuan masing-masing. – UTUSAN