JOHOR BAHRU: Setelah diberhentikan kerja, seorang bapa kepada tiga anak kini berjinak-jinak dalam kerja pertukangan perabot demi untuk menjana pendapatan keluarga.
Menurut Hassri Abd. Kadir, 53, dia mula serius dalam kerja tersebut pada bulan Mac lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.
“Sebaik sahaja diberhentikan kerja oleh majikan sebagai pengendali mesin operator kilang di Taman Teknologi Senai kerana beberapa faktor terutamanya akibat kesan Covid-19 pada Jun lalu, saya mula serius menjana pendapatan dengan bertukang.
“Bermula dengan membuat meja dan beberapa perabot lain secara suka-suka, akhirnya membuahkan hasil apabila ramai rakan saya tertarik dengan hasil pertukangan saya ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Bendahara di sini baru-baru ini.
Hassri yang mula berjinak-jinak dalam bidang pertukangan sejak kecil lagi ketika tinggal di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi memberitahu, dia bertekad menjadikan pertukangan kayu sebagai pekerjaan utama selain membuat kerja-kerja pendawaian elektrik.
“Saya belajar sendiri cara bertukang dan melalui media sosial YouTube, saya belajar mengenai cara-cara membuat perabot dengan lebih sistematik,’’ jelasnya.
Selepas tujuh bulan, dia kini banyak menerima tempahan termasuk membuat set perabot untuk industri inap desa dan mendapat permintaan terutamanya membuat set almari, rak televisyen, meja, kerusi, rak kasut dan kabinet dapur.
“Saya mula bertukang seawal pagi setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan dibantu isteri, Sharifah Abdullah, 54,” katanya.-UTUSAN ONLINE