Itik makin banyak diternak, babi pula merosot - Utusan Malaysia

Itik makin banyak diternak, babi pula merosot

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan ternakan itik secara komersial di seluruh Malaysia didapati bertambah dengan amat pesat sepanjang tahun lalu berbanding rekod pada tahun yang sebelumnya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi kenyataan diterbitkan bagi laporan terbaharu Indikator Pertanian Terpilih 2020.

Menurut beliau, jumlah itik yang diternak di negara ini pada 2019 lalu bertambah sebanyak 7.6 peratus kepada 10,414,098 ekor daripada hanya 9,680,573 ekor direkodkan pada 2018.

“Perak kekal pengeluar utama bekalan itik tempatan iaitu 7.5 juta ekor manakala Johor masih unggul sebagai negeri pengeluar terbesar bagi ternakan ayam iaitu 67.7 juta ekor,” katanya.

Bagaimanapun dari segi kuantiti, ayam merupakan ternakan paling banyak di Malaysia iaitu 274,265,896 ekor pada 2019, iaitu naik 5.8 peratus; peningkatan kedua terbesar selepas itik.

Ia bermakna secara congak mudah, jumlah ayam diternak di negara ini adalah lebih lapan kali ganda daripada bilangan penduduk Malaysia sendiri yang dianggarkan sekitar 32 juta orang.

Pada masa sama, ujar Mohd. Uzir, ternakan babi didapati merosot paling teruk sebanyak 0.8 peratus daripada 1,967,538 ekor pada 2018 kepada cuma 1,952,385 ekor pada 2019 lalu.

“Ini diikuti ternakan bebiri komersial yang juga merosot sebanyak 0.4 peratus dengan 127,796 ekor sepanjang tahun lepas berbanding 128,298 ekor direkodkan pada tahun sebelumnya.

Sementara haiwan ternakan lain mencatatkan pertumbuhan positif dengan kambing naik 3.5 peratus iaitu 371,747 ekor pada 2019 daripada 359,200 ekor pada tahun sebelumnya.

Begitu juga lembu menokok 1.0 peratus iaitu 683,501 ekor (2019) daripada 676,86 ekor (2018) manakala kerbau naik 0.3 peratus iaitu 107,347 ekor (2019) daripada 106,988 ekor (2018).

“Angka perbandingan itu diperakui Jabatan Perkhidmatan Verterinar manakala data Jabatan Perikanan turut menunjukkan banyak indikator menaik pada 2019,” ujar Mohd. Uzir.

Pelaling jelas beliau, muncul sebagai spesies ikan air laut pilihan utama majoriti rakyat Malaysia dengan mendapat permintaan amat tinggi di pasaran tempatan sejak tahun 2015 lagi.

Beliau menambah, pengeluaran ikan tersebut sepanjang 2019 lalu malahan meningkat 1.6 peratus berbanding catatan pada tahun yang sebelumnya kepada 94,003.5 tan metrik.

“Jumlah pendaratan ikan laut pada tahun lalu ialah 1,455,400 tan metrik iaitu naik 0.2 peratus berbanding 2018 dan Perak jadi penyumbang utama iaitu 315,000 tan metrik,” ujarnya.

Sementara itu, pengeluaran akuakultur juga bertambah dengan air payau atau masin naik 5.9 peratus kepada 307,200 tan metrik dan air tawar naik 3.3 peratus kepada 104,600 tan metrik.

Perak sekali lagi muncul sebagai pengeluar ternakan ikan air payau/masin iaitu 44,600 tan metrik manakala Sabah pula menguasai pengeluaran ikan air tawar iaitu 20,680 tan metrik.

Dalam pada itu Mohd. Uzir berkata, laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia 2019 merekodkan 1,541,100 orang bekerja di sektor pertanian dengan didominasi lelaki sebanyak 79.2 peratus.

“Namun, didapati bilangan bukan warganegara daripada keseluruhan jumlah pekerja sektor tersebut adalah hanya seramai 491,300 orang atau 31.9 peratus sahaja,” katanya lagi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya