MUAR : Seorang wanita maut manakala suami dan anak tirinya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Persimpangan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa, Nor Aina Farahin Jai, 31, maut di tempat kejadian.
Selain itu, suami mangsa, Muhammad Alliashia Othman, 37, dan anak tiri, Aliya Farhana Abdullah, 20, masing-masing parah di kepala.
Menurut Zaharudin, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Proton Exora dipandu suami yang dinaiki mangsa dan tiga lagi anak tiri mereka dalam perjalanan menghala ke Pagoh.
“Namun ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang datang dari arah sebelah kanan secara tiba-tiba telah keluar dari persimpangan Parit Setongkat untuk menuju ke Jalan Salleh.
“Akibatnya, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun itu telah merempuh kenderaan dinaiki mangsa sekeluarga hingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Honda Accord mengalami kecederaan retak tulang kaki dan masih tidak sedarkan diri.
“Dua lagi anak tiri mangsa berusia 10 dan tiga tahun cedera ringan dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN ONLINE