GEORGETOWN : Misi mereka adalah untuk melakar senyuman kepada petugas barisan hadapan di Hospital Pulau Pinang (HPP) ketika berjuang melawan pandemik Covid-19.
Selaras itu, Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (IPSI) semalam tampil menyerahkan bantuan kepada petugas barisan hadapan HPP antaranya pemanas air, cerek elektrik dan pengimbas suhu dengan harapan bantuan berkenaan dapat menceriakan golongan tersebut.
Presiden IPSI, Kamarudin Abdullah berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan bantuan berkenaan setelah melihat petugas barisan hadapan menjalankan tugas tanpa henti untuk merawat pesakit Covid-19.
“Bantuan yang diberikan ini adalah idea spontan kami dengan tujuan melakar senyuman dalam kalangan petugas barisan hadapan.
“Kami berbesar hati apabila bantuan ini diterima dengan baik oleh pihak pengurusan HPP,” katanya ketika ditemui di HPP semalam.
Yang turut hadir menerima sumbangan tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan HPP, Wong Cheng Yew.
Menurut Kamarudin, IPSI juga merancang mempelbagaikan bentuk bantuan kepada petugas barisan hadapan mengikut keperluan mereka.
“Bantuan-bantuan lain akan menyusul, pihak kami akan sampaikan mengikut apa yang dikehendaki petugas barisan hadapan.
“Nilai bantuan tidak penting, yang penting adalah keikhlasan untuk membantu,” katanya. -UTUSAN ONLINE