PUTRAJAYA: Internet yang kini diiktiraf sebagai utiliti ketiga merupakan satu satu dasar baharu, langkah ke hadapan dan penanda aras penting dalam memecut kerja-kerja memperkukuhkan infrastruktur digital negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan itu sekali gus mampu menyelesaikan masalah terbesar penyediaan infrastruktur telekomunikasi di sesuatu tempat berikutan kelambatan kelulusan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, faktor-faktor lain turut dikenal pasti seperti penyediaan rizab kemudahan komunikasi atau ruang khas, kebenaran menggunakan struktur multi-fungsi bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan penyelarasan perundangan.
Menurut beliau, ia turut berkait garis panduan dan kod teknikal dengan permasalahan utamanya ialah berkaitan Kebenaran Merancang (KM) iaitu mana-mana pihak yang ingin memajukan kawasan perumahan, bandar atau perundustrian dalam kawasan PBT perlu mendapatkan KM.
“KM ialah berkaitan dengan perancangan infrastuktur. Pada hari ini, pemaju perlu menyediakan perancangannya tentang dua utiliti, iaitu air dan elektrik. Ia tidak semestinya diperlukan menyediakan perancangan tentang kesalinghubungan internet kerana tidak dikira sebagai utiliti.
“Perancangan itu hanya timbul setelah projek pembangunan tersebut siap dibina. Inilah faktor utama mengapa kerja-kerja infrastuktur digital mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, segala keperluan infrastruktur itu akan turut dirangka dalam Garis Panduan Perancangan Infrastuktur (GPP-I) untuk memudahkan cara penyediaan infrastruktur digital.
“Pertama, penyediaan satu garis panduan yang seragam diperlukan untuk memudah cara penyediaan infrastuktur digital negara.
“Kedua, ia perlukan penyelarasan dan rundingan segera bagi penyediaan garis panduan berkenaan di peringkat negeri, iaitu melalui sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, GPP-I itu dapat mengatasi tiga cabaran dihadapi dalam perancangan infrastruktur digital iaitu tiadanya sumber rujukan bagi perancangan infrastruktur digital bagi pembangunan baharu; kelewatan penyediaan perkhidmatan komunikasi; kos yang tinggi, masa yang lama dan bantahan pengguna.
Katanya, melalui GPP-I itu, ia akan menghasilkan tiga jenis manfaat iaitu rakyat mendapat perhidmatan komunikasi lebih cepat, kapasiti lebih tinggi dan kualiti lebih baik.
“PBT akan mempunyai pembangunan yang dirancang dengan lebih baik yang menjadikannya lebih berdaya saing dan mampan bagi menarik minat pelabur kerana perkhidmatan komunikasi telah tersedia.
“Dan syarikat penyedia perkhidmatan akan mendapat peluang pelaburan yang lebih menarik,” katanya. -UTUSAN ONLINE