JOHOR BAHRU: Seramai 53 individu dikesan positif Covid-19 daripada Kluster Kempas iaitu yang melibatkan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Johor Bahru, Kempas di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu antaranya telah melibatkan 12 pelatih dan seorang ahli keluarga mereka.
Katanya, keputusan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di premis itu bermula hari ini bertujuan mengawal penularan Covid-19.
“Temco selama 14 hari itu adalah melibatkan 1,559 orang yang terdiri dalam kalangan pelatih, kakitangan, ahli keluarga dan pekerja sokongan.
“Sehingga semalam, Kluster Kempas merupakan jumlah tertinggi jangkitan iaitu 53 kes diikuti Kluster Rinting iaitu 10 kes, lapan kes untuk Kluster Bayu manakala Kluster Meldrum pula mencatatkan tujuh kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Vidyananthan berkata, walaupun Johor Bahru diisytiharkan sebagai zon merah, namun, masyarakat dinasihatkan tidak panik.
Katanya, perkara itu kerana kebanyakan kes dilaporkan adalah dari kluster sedia ada dan hanya tertumpu kepada penularan dalam keluarga dan tempat kerja ahli keluarga mereka.
“Institusi tempat kerja yang terlibat telah diletakkan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, justeru, dijangkakan tiada penularan dalam komuniti,” katanya.
Sehingga semalam, terdapat sembilan kes baharu di negeri ini yang dilaporkan iaitu lapan daripada kluster-kluster sedia ada manakala satu kes import (Indonesia).
Ia menjadikan terdapat 77 kes Covid-19 yang aktif dan telah pun diasingkan serta diberi rawatan di hospital. -UTUSAN ONLINE