Ini bukan Belanjawan 'seronok-seronok'-Azmin  - Utusan Malaysia

Ini bukan Belanjawan ‘seronok-seronok’-Azmin 

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Ketua Pembangkang supaya blok kerajaan tidak meraikan ‘kemenangan’ itu terlalu awal. 

Tegasnya, Belanjawan 2021 yang diluluskan di peringkat dasar semalam bukan belanjawan ‘seronok-seronok’, tetapi adalah Belanjawan Rakyat dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Ini bukan soal seronok-seronok. Masalahnya ini permainan politik pembangkang. Bagi kita ini satu perkara yang serius. Sebab itu menteri kewangan menjawab setiap perkara dibangkitkan dalam sesi penggulungan.

“Jika lihat semalam, ada perkara baru dibangkitkan dan selain itu menteri kewangan turut mengambil sikap bertanggungjawab meminda beberapa perkara hasil perbahasan Ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Khas Tertinggi Bersatu, semalam. 

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan supaya jangan meraikan ‘kemenangan’ terlalu awal, kerana Belanjawan 2021 masih boleh ditolak di peringkat jawatankuasa, walaupun lulus di peringkat dasar.

Katanya, keputusan majoriti pembangkang untuk tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi kerana tidak mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal, memandangkan masih terdapat proses perlu dilalui.

Anwar berkata demikian selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

Azmin bagaimanapun berkata, tindakan Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 memberi gambaran mereka sedar betapa penting belanjawan itu kepada rakyat, ketika negara masih berdepan wabak Covid-19.

“Fokus kita pertamanya untuk menangani masalah penularan Covid-19. Keduanya, memulihkan dan mencergaskan ekonomi. Ini satu belanjawan yang terbesar dilakukan negara, ia cuba membantu seramai mungkin mereka yang terkesan,” katanya.

Katanya, ini juga merupakan kali pertama  kerajaan berkongsi pembentangan belanjawan bersama pihak pembangkang, berbeza dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya tidak pernah ambil sikap terbuka.

“Disebabkan itu, sudah tentu menteri kewangan terpaksa meneliti, ada perkara yang boleh kita lakukan sekarang, ada perkara yang boleh kita lakukan untuk masa yang akan datang. Ini bukan belanjawan bersifat ‘one-off’, ia bersifat dinamik,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya