Ingkar arahan polis: Graduan UM mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Ingkar arahan polis: Graduan UM mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Graduan kontroversi Universiti Malaya (UM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengingkari arahan penjawat awam yang melakukan serbuan di rumahnya Sabtu lalu.

Wong Yan Ke, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Yan Ke didakwa telah mengingkari perintah yang diisytiharkan penjawat awam, Asisten Superintenden Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung di Facebook ketika polis membuat serbuan.

Graduan jurusan Kejuteraan Awam UM itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini kira-kira pukul 3.30 petang pada 7 November lalu.

Yan Ke didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengambil kira kes itu melibatkan kepentingan awam dan telah tular di laman sosial.

Tertuduh yang diwakili Peguam Rajsurian Pillai memohon supaya anak guamnya dikenakan bon tanpa cagaran memandangkan hukuman yang diperuntukan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan adalah rendah.

“Anak guam saya kini bekerja dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan berpendapatan RM2,600 sebulan.

“Malah, ketika ditahan anak guam memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan tidak akan melarikan diri. Sekiranya mahkamah menolak cadangan bon ini, mohon satu ikat jamin
yang minimum diberikan,” katanya

Mahkamah membenarkan Yan Ke diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari hadapan untuk sebutan semula kes.

Oktober tahun lalu, Yan Ke ketika dalam majlis istiadat konvokesyen universiti itu bertindak biadab dengan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya