GEORGETOWN: Pelaksanaan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu bukan sahaja menggusarkan pekerja industri hotel, malah pemilik-pemilik hotel turut berdepan tekanan kewangan yang tinggi untuk meneruskan perniagaan.
Kadar tempahan bilik yang rendah, pembatalan tempahan acara dan majlis serta pembatalan bilik yang ditempah merupakan cabaran utama yang dihadapi pemilik hotel ketika ini.
Menambahkan dilema, pemilik hotel juga perlu sedaya upaya mengukuhkan kedudukan kewangan supaya pekerja sedia ada tidak berdepan dengan kemungkinan dibuang kerja.
Berkongsi pengalaman, pemilik The Blanket Hotel Sdn. Bhd., Ieja Hindun Salleh berkata, sejak Mac sehingga kini, anggaran kerugian yang dialami syarikatnya akibat pandemik Covid-19 mencecah lebih RM1 juta.
“The Blanket Hotel Sdn. Bhd. menguruskan empat buah hotel iaitu tiga di Pulau Pinang dan satu di Kajang, Selangor.
“Sebelum PKPB kadar tempahan bilik yang kami terima lebih 30 peratus, namun selepas PKPB dilaksanakan kadar tempahan jatuh sehingga 10 peratus,” katanya di sini semalam.
Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.
Hanya tiga negeri tidak terlibat dengan PKPB berkenaan iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.
Menurut Ieja Hindun, salah satu hotel yang diuruskan syarikatnya di Georgetown paling terjejas akibat pandemik Covid-19 kerana kawasan pusat bandar itu tidak menjadi pilihan pelancong tempatan untuk dijadikan tempat penginapan.
“Boleh dikatakan hanya satu atau dua bilik sahaja ditempah dalam sebulan, pekerja juga terpaksa mengambil cuti jika tiada pelanggan di situ,” katanya.
Ieja Hindun berkata, sebagai majikan dia melakukan pelbagai cara untuk mengekalkan pekerja ketika berdepan dengan tempoh sukar itu.
“Apa sahaja bantuan yang kerajaan umumkan kami mohon antaranya program subsidi upah bagi meneruskan operasi syarikat dan mengelakkan pekerja daripada diberhentikan.
“Setakat ini, belum ada lagi pekerja syarikat diberhentikan dan kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan inisiatif ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE