KEMAMAN: Banjir yang melanda beberapa kampung di kawasan Air Putih, Hulu Kemaman hari ini mengingatkan penduduk terhadap bencana banjir besar yang pernah berlaku di daerah itu pada 2014.
Rata-rata penduduk meluahkan rasa bimbang jika peristiwa enam tahun lalu berulang susulan peningkatan mendadak air Sungai Kemaman yang melimpah ke kawasan penempatan mereka hingga tidak sempat menyelamatkan barangan masing-masing sebelum ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Seorang penduduk, Mohd. Yuhami Mohd. Yussof, 34, dari Kampung Teladas berkata, situasi banjir yang teruk di daerah itu pada hari ini sama sekali tidak dijangka kerana keadaan cuaca yang cerah semalam.
“Awal pagi ini memang hujan lebat dan saya terkejut apabila bangun, air sudah melimpah.
“Saya bimbang kalau berlaku banjir besar seperti 2014 kerana ketika itu kami tinggal sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa berikutan air naik sehingga separas dada,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Bagi peniaga, Rohidah Mahmud, 49, perniagaan kedai makan paginya terpaksa ditutup lebih awal kerana air memasuki premis tersebut.
Katanya, pada mulanya operasi perniagaan itu dirancang mahu diteruskan, namun berubah fikiran apabila air naik dalam tempoh kurang dua jam.
“Saya ingatkan air tidak naik sebegitu cepat, jadi saya meneruskan jualan seperti biasa sebab makanan semua sudah disediakan.
“Ada juga barang-barang yang saya tidak sempat dialihkan seperti periuk yang dihanyutkan air. Saya harap tragedi banjir 2014 tidak berulang lagi kerana sudah banyak menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda,” katanya.
Setakat pukul 6 petang ini, tiga PPS dibuka iaitu di dewan serbaguna Kampung Air Putih, balairaya Kampung Teladas dan Masjid Kampung Dadong yang menempatkan 659 mangsa daripada 156 keluarga. -UTUSAN ONLINE