Hospital Kem Terendak perlu bangunan baharu - Utusan Malaysia

Hospital Kem Terendak perlu bangunan baharu

BANGUNAN Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak yang berusia 56 tahun di Sungai Udang, Melaka - UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak di Sungai Udang, di sini perlu dibina baharu berikutan keadaan fasiliti dan bangunan itu yang sudah tidak bersesuaian untuk kegunaan jangka masa panjang.

Biarpun diperuntukan sebanyak RM40 juta untuk kerja-kerja menaik taraf, pusat perubatan berusia 56 tahun itu tetap perlu dibangunkan semula bagi menggantikan hospital sedia ada.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, HAT Kem Terendak bukan sahaja digunakan oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM, malah peratusan tertinggi melibatkan orang awam terutamanya di sekitar Sungai Udang.

“Setiap tahun kira-kira 64,000 pesakit termasuk orang awam direkodkan mendapatkan rawatan di sini, maka sudah tentu dan sewajarnya HAT Kem Terendak dibina baharu untuk kegunaan dan keselesaan semua.

“Peruntukan RM40 juta hanya untuk perbaiki fasiliti dan kemudahan asas di sini, namun paling ideal adalah untuk membina hospital baharu bagi jangka masa panjang selepas ia mula beroperasi pada 1964,” katanya selepas melawat hospital tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Md. Amin Muslan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kementerian akan mengemukakan cadangan pembinaan baharu HAT itu di kem tersebut kepada kerajaan secepat mungkin selepas beliau sendiri melihat keadaan sebenar hospital itu.

“Walau bagaimanapun, sekiranya tidak dapat melalui peruntukan kerajaan kita akan cuba cara lain juga mungkin melalui PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta) atau pun kaedah-kaedah lain.

“Malah, jika kita hanya teruskan dengan kerja pembaikan terhadap fasiliti sedia ada tidak mustahil masalah sama akan berulang yang tidak akan menyelesaikannya secara terus, misalnya lif yang digunakan juga melibatkan alat ganti yang sukar ditemukan lagi,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan hospital baharu juga membolehkan kelengkapan perubatan terkini, penambahan dewan bedah dan kepakaran boleh ditempatkan di situ berbanding hanya mengendalikan kes-kes biasa setakat ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, mesyuarat Pasukan Petugas Nasional (NTF) akan membincangkan secara menyeluruh tentang keperluan di sempadan negara termasuk sama ada meningkatkan ketinggian tembok pemisah dengan negara jiran.

“Bukan setakat pagar tetapi juga keperluan menambah anggota di pos-pos sempadan, semua itu akan disentuh dalam mesyuarat NTF bersama-sama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kita sama-sama menjaga sempadan negara daripada dibolosi penyeludup atau pendatang asing,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN