GERIK: Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman tidak sempat menunaikan hasratnya untuk memberikan bantuan kepada kira-kira 10,000 keluarga di kawasan Parlimen Gerik yang terjejas akibat wabak Covid-19.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berkata, ia merupakan hasrat terakhir yang mahu dilaksanakan oleh Hasbullah namun tidak kesampaian apabila meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.
Aznel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu berkata, beliau merasakan sedih kerana Allahyarham meninggal dunia tanpa sempat merealisasikan hasrat murninya itu.
“Kali terakhir kami buat perjumpaan bulan lepas untuk kita susun program untuk memberi beri bantuan barangan keperluan seharian untuk sebulan kepada penduduk.
“Ia merupakan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19 kepada kira-kira 10,000 rumah di Gerik.
“Insya-Allah kita akan teruskan hasrat arwah, kita akan lihat peruntukkannya kerana ia merupakan khas untuk Ahli Parlimen akibat Covid-19,” katanya.
Beliau ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham Hasbullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang di sini yang dihadiri lebih 1,000 orang.
Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 11.45 pagi.
Hasbullah, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang semalam pada kira-kira pukul 7 petang semalam.
Jenazah tiba di rumah beliau di Kampung Ulu Kenderong di sini dari Hospital Raub, Pahang pada kira-kira pukul 5.30 pagi.
Antara orang kenamaan yang menziarahi jenazah termasuk Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.
Jenazah kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Gerik di sini sebelum dikebumikan.
Hasbullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggalkan isteri dan lapan anak berumur antara dua bulan dan 34 tahun.
Beliau mula menjadi Ahli Parlimen Gerik yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hingga sekarang.
Sebelum itu beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal bermula PRU-11.-UTUSAN ONLINE