JOHOR BAHRU: Permintaan tinggi terhadap haiwan eksotik dan harganya yang mahal menyebabkan aktiviti pemburuan haram di negeri ini semakin meningkat.
Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban berkata, pemburu haram mampu mengaut untung besar sehingga RM200,000 dengan menjual seekor harimau hidup kepada mana-mana restoran eksotik di negeri ini.
Katanya, tidak hairanlah jika ‘pak belang’ menjadi haiwan paling diancam kepupusan dalam satu kajian populasi yang dilakukan National Tiger Survey.
“Harga hidangan makanan eksotik seperti daging harimau atau beruang boleh mencecah RM200 hingga RM300 sepinggan. Biasanya pemilik restoran eksotik akan mendapat tempahan pelanggan untuk daging haiwan eksotik yang dimahukan sebelum diburu.
“Harimau merupakan paling tinggi permintaan dalam kalangan penggemar daging haiwan eksotik kerana mereka percaya bagus untuk kesihatan termasuk menguatkan tenaga batin walaupun tidak dapat dibuktikan secara saintifik,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Datuk Md. Yusof Ahmad.
Ditanya mengenai tahap serius kegiatan pemburuan haram di negeri ini, Salman berkata, semuanya bergantung kepada operasi dilakukan selain aduan orang awam termasuk risikan yang dilakukan pihaknya.
Salman memberitahu, hanya terdapat 27 restoran di seluruh negeri mempunyai lesen menjual hidangan eksotik seperti daging biawak dan babi hutan tetapi terdapat segelintir yang menjual daging haiwan eksotik lain secara haram.
Dalam pada itu Ayob Khan berkata, bagi mengekang kegiatan pemburuan haram daripada berleluasa dan diancam kepupusan, polis dan Perhilitan melakukan operasi dengan memeriksa 34 restoran di seluruh negeri yang menjual dan menyimpan haiwan eksotik.
Jelas beliau, menerusi pemeriksaan di semua premis dari Ogos hingga Oktober lalu, 16 pemburu haram ditahan bersama-sama rampasan melibatkan pelbagai daging makanan eksotik.
Tambahnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 60(1) Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010, Akta Imigresen dan Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan dan semuanya sudah dikenakan hukuman. – UTUSAN ONLINE